MEI 2022

Cawangan Usul Jawatan Yang Di-Pertua Parti PBB, Timbalan Tidak Ditandingi


KUCHING: Hampir semua 82 cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di negeri ini mengusulkan supaya jawatan Yang di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Parti tidak dipertandingkan pada perhimpunan agung parti itu yang akan diadakan mulai 16 hingga 19 Jun depan.

Setiausaha Agung Parti PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, hampir semua 82 cawangan parti mengemukakan usul itu selepas selesai mengadakan mesyuarat perwakilan cawangan masing-masing.

“Kita ada menerima banyak usul daripada cawangan-cawangan tetapi usul supaya jawatan Yang di-Pertua dan Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua tidak dipertandingkan adalah paling menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti PBB di Ibu Pejabat parti itu, Jalan Bako di sini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Yang di-Pertua Parti PBB merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan dihadiri ahli-ahli MT parti.

 Mesyuarat itu bertujuan membincangkan perhimpunan agung itu.

Alexandar Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, mesyuarat perwakilan sayap pemuda dan wanita parti akan diadakan pada 17 Jun dan disusuli Perhimpunan Agung pada 18 dan 19 Jun.

Yang di-Pertua PBB akan merasmikan pembukaan mesyuarat perwakilan sayap Pemuda dan Wanita dan Perhimpunan Agung itu, katanya.

Beliau berkata, perhimpunan agung kali ini, Parti PBB akan meminda perlembagaannya untuk membolehkan golongan belia berusia 18 hingga 28 tahun menyertai parti.

“Ia bertujuan memberi peluang kepada golongan muda menyertai politik dalam Parti PBB,” katanya.

Perhimpunan agung itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) di sini dan dijangka dihadiri lebih 2,000 perwakilan daripada seluruh negeri, katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti